Assalamualaikum. Entri kali ini sekadar berkongsi pengalaman sahaja.
Saya berasal
dari negeri Johor Darul Takzim dan telah mendapat Bacelor Pendidikan (SRT) di
UPM, Serdang pada tahun 1999. Seterusnya memulakan tugas sebagai pendidik pada
tahun 1999 di SMK Telok Datok sehingga kini. Telah menerima Anugerah
Perkhidmatan Cemerlang pada tahun 2006.
Pada tahun 2009, tercetus idea
untuk menyediakan bahan PdP berikutan
minat saya membuat soduku hampir pada setiap hari. Mengenangkan masa yang
terluang diisi dengan perkara yang agak sia-sia, saya membuka semula perisian
Hot-potatoes yang telah saya pelajari di sekolah ini pada tahun 2004. Dengan
usaha cuba jaya, akhirnya saya dapat menyiapkan modul lengkap untuk KHB-ERT
tingkatan 3 pada bulan Ogos 2009 untuk digunapakai oleh murid KHB-ERT
mengulangkaji menjelang PMR tahun 2009.
Pada penghujung tahun 2009, saya
telah berjaya menyiapkan modul Santai Minda untuk KHB bagi semua pilihan dari
tingkatan 1 hingga 3. Atas dorongan rakan-rakan setugas, saya cuba untuk
mencari penerbit yang sudi untuk mencetak dan seterusnya menerbitkan modul ini.
Tetapi, ia gagal.
Pada bulan Februari 2010, saya
telah mengisi borang pencalonan guru Inovatif mewakili sekolah ke peringkat
daerah Kuala Langat. Alhamdulillah, pada sambutan Hari Guru 2010 di daerah ini, saya telah memenangi Anugerah Guru Inovatif 2010. Dan saya
rasa sangat bersyukur kerana pada bulan September 2010, ada pembekal sudi untuk
mencetak dan seterusnya menerbitkan modul kepada empat pilihan iaitu KHB-KT,
KHB-ERT, KHB-PN dan KHB-PK yang dinamakan SANTAI MINDA KHB.
Pada penghujung tahun 2011, saya
terfikir untuk memasarkan buku-buku ini dalam bentuk E-Book agar ianya dapat
digunakan oleh semua pendidik di seluruh negara. Pada awal tahun 2012, saya
telah mula mengiklankan e-book Santai Minda di dalam blog pendidikan saya iaitu
http://norlizajais.blogspot.com yang saya bangunkan sejak tahun
2008 lagi.
Syukur saya kehadrat Ilahi
kerana ada maklumbalas dari golongan pendidik dari seluruh negara dan juga sekolah-sekolah
pedalaman di Sabah dan Sarawak yang mencari dan sudi membeli modul ini. Mereka mengucapkan tahniah dan terima kasih kerana menyediakan
bahan PdP dalam bentuk “softcopy” yang amat mudah pengurusan penghantaran dan
penerimaannya melalui email sahaja. Menurut mereka, kedudukannya yang jauh dari
kemudahan-kemudahan awam tidak seperti bandar-bandar lain. Hanya internet
menjadi penghubung dengan rakan dari luar.
Pada tahun 2011 dan 2012, saya
mula menambahkan lagi bahan-bahan akademik seperti contoh soalan, modul
pembelajaran, perancangan strategik dan sebagainya ke dalam blog pendidikan
tersebut untuk dikongsikan bersama murid dan rakan guru di seluruh negara.
Kini, murid-murid boleh mengakses sendiri modul dalam bentuk video, slaid, latihan
interaktif melalui VLE dan Internet dengan mudah dan sambutannya amat
menggalakkan. Semua bahan ini dimuatkan dan dikemaskini untuk memastikan murid
tidak bosan dengan kaedah pembelajaran yang biasa dijalankan di dalam kelas.
Akhirnya, pada tahun 2013, saya
telah menyertai Pertandingan Anugerah Guru dalam ICT. Semoga
ilmu ini akan terus berkembang dan dapat dikongsikan dalam kalangan pendidik
dan memberi satu cara pembelajaran yang lebih terkini kepada semua murid.
Terima kasih kepada keluarga, rakan seperjuangan dan anak-anak didik yang sentiasa memberi sokongan padu dala usaha untuk memajukan sistem pendidikan di sekolah kita.
:) Karangan ini saya buat khas untuk buku program Sambutan Hari Guru Negeri Selangor 2013...kerana saya telah mendapat anugerah ini. Alhamdulillah.
2 comments:
Tahniah..bebeh...semoga terus berjaya..
TERIMA KASIH KAK SHIMA.
Post a Comment